Redha
menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi
daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada
Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan
segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa
tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan
gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah
s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta
kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta
tulus ikhlas kepadaNya.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman
hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang
mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak
merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan
serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah
An-Nisaa' : Ayat 65 )
Dan
firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang
Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata
: ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan
pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )
Pada
dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib
mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati
dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t.
hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah
sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan
dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci
dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik
) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa
yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam
sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka
". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )
Andaikata
mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang
maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat
pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang
penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t.
, yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian
iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha
Dengan Qada' :
Redha
dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah
ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah
( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang
yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah
s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam
keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan
Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata
:
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah
kebaikan ".
Dan
apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda
mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t.
dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau
berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan
begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah
telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana
sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada
syaitan " . (Riwayat Muslim)
Sikap
redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t.
Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan
bersandar kepada dua pengertian :
Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya
Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak
bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah
Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan
dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan
dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri
sendiri.
Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan
sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi
kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin
. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti
kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar
bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )